Rabu, 24 Januari 2018

GEOGRAFI PENGGAL 1 - Teknik Menjawab Esei

PEREDARAN BUMI
            Peredaran bumi menyebabkan kejadian empat musim. Peredaran bumi mengelilingi matahari serta kecondongan paksinya mengakibatkan berlakunya kejadian empat musim dalam setahun, iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk yang paling nyata di kawasan garis lintang sederhana. Kejadian ini tidak berlaku di kawasan tropika kerana matahari sentiasa berada tinggi di langit dan julat suhu tahunan yang rendah. Di kawasan Garisan Artik dan Antartik musim bunga dan musim luruh sangat pendek tetapi musim panas dan musim sejuk yang panjang.
          Menyebabkan perbezaan panjang waktu siang dan malam. Peredaran bumi mengelilingi matahari dan kecondongan paksinya menyebabkan terdapatnya perbezaan panjang waktu siang dan malam pada masa yang berlainan dalam setahun. Pada waktu ekuinoks (21 Mac dan 23 September) semua tempat di dunia kecuali Kutub Utara dan Kutub Selatan mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang kerana matahari berada tegak di atas Garisan Khatulistiwa. Pada musim panas, siang lebih panjang daripada malam di hemisfera utara, manakala hemisfera selatan mengalami musim sejuk dan mengalami waktu malam yang lebih panjang dari siang. Pada musim sejuk, waktu malam lebih panjang daripada  waktu siang di hemisfera utara, manakala hemisfera selatan mengalami musim panas dan waktu siang yang lebih panjang daripada waktu malam.

          Berlaku perubahan ketinggian matahari tengah hari di langit. Peredaran bumi mengelilingi matahari serta kecondongan paksinya menyebabkan ketinggian matahari berubah mengikut latitud pada waktu yang berlainan dalam setahun, ini menampakkan matahari seolah-olah bergerak tetapi tidak. Pada 21 Mac (Ekuinoks musim bunga di Hemisfera Utara) matahari berada tegak atas kepala di Garisan khatulistiwa pada waktu tengah hari. Pada 21 Jun (Solstis musim panas di Hemisfera Utara) matahari tegak di atas kepala di Garisan Sartan pada waktu tengah hari. Pada 23 September (ekuinoks musim luruh di Hemisfera Utara) matahari sekali lagi berada tegak di atas kepala di Garisan Khatulistiwa pada waktu tengah hari. Pada 22 Disember (solstis musim sejuk di Hemisfera Utara) matahari berada tegak atas kepala di Garisan Jadi pada waktu tengah hari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan